Takaful : Beza penama dan hibah

Penama dan hibah adalah dua jenis perancangan di dalam takaful. Oh ya, sebagai pengetahuan, perancangan takaful juga adalah sebahagian daripada perancangan kewangan.

Sebagai peserta takaful, kebiasaanya kita dinasihati untuk mengambil salah satu daripada dua kaedah ini.

Namun, adakah anda jelas perbezaan antara kedua – dua kaedah ini?

DUA KAEDAH PEMBERIAN PAMPASAN TAKAFUL YANG POPULAR

KAEDAH 1 : PENAMAAN

Tujuan penamaan di dalam takaful adalah sebagai satu cara memudahkan waris menerima harta (pampasan takaful) apabila berlaku kematian kepada peserta takaful.

Penama akan bertindak sebagai wakil atau wasi kepada harta benda arwah. Perlu difahami, penama adalah bertindak sebagai pemudah cara untuk mengeluarkan pampasan yang akan diterima.

Apa yang berlaku sekiranya tiada penama?

Waris perlu mengambil masa yang lama untuk mendapatkan harta tersebut. Dalam kes ini, adalah harta tersebut ialah pampasan takaful tersebut.

Sebagai contoh, waris perlu ke Pejabat Pesaka Kecil atau Amanah Raya Berhad atau mahkamah sivil bergantung kepada sesuatu kes.

Selepas menerima wang pampasan tersebut, penama perlu memastikan hak arwah terbela dahulu iaitu :

  • Kos pengurusan jenazah
  • Hutang fidyah, zakat, haji dan nazar
  • Hutang bank dan individu
  • Wasiat tidak melebihi 1/3

Kemudian baki daripada penolakan hak arwah itu akan diberikan kepada waris yang layak mengikut hukum Faraid.

Apakah yang berlaku sekiranya penerima Faraid menolak hak mereka yang diperolehi itu?

Boleh. Dengan syarat penerima Faraid perlu dimaklumkan tentang hak mereka terlebih dahulu. Kemudian, jika mereka hendak melepaskan hak tersebut dan memberikan kepada sesiapa yang mereka inginkan, adalah tidak menjadi satu kesalahan.

KAEDAH 2 : HIBAH

Maksud hibah ialah pemberian atas dasar kasih sayang tanpa mengharapkan pembalasan.

Hibah takaful telah dinyatakan di dalam Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (APKI) Tahun 2013 yang mana penerima hibah adalah dijamin penerimaan tersebut dari sudut syarak dan perundangan.

Hibah takaful yang digunakan adalah berdasarkan hibah bersyarat.

Peserta takaful boleh memberikan hibah tersebut kepada sesiapa sahaja yang beliau kehendaki sama ada keseluruhn pampasan takaful atau sebahagiannya.

Sebagai contoh, seorang suami bernama Encik Manaf ini melanggan Produk Hibah Legasi yang mempunyai manfaat kematian RM 500,000.00.

Encik Manaf mempunyai seorang isteri, seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Di bawah ialah contoh hibah yang telah Encik Manaf lakukan :

  • Isteri – 50% iaitu RM 250,000
  • Anak Lelaki – 30% iaitu RM 150,000
  • Anak Perempuan – 20% iaitu RM 100,000

KESIMPULAN

Kelebihan hibah takaful berbanding penamaan ialah penerima hibah tidak ada penetapan tertentu seperti keutamaan bayaran hutang arwah dan sebagainya. Ianya menjadi hak mutlak kepada penerima hibah.

Namun secara kesimpulannya, penama dan hibah di dalam perancangan takaful ini mempunyai kelebihan yang tersendiri. Ianya berbalik kepada tujuan asal takaful itu diambil oleh setiap peserta.

Dapatkan sebut harga takaful anda di sini.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *